Kelembutan di sebalik ketegasan
Pada suatu ketika tertentu suasana pembelajaran menjadi agak tegang kerana kedengaran suara guru yang tegas menegur pelajar-pelajarnya yang tidak membuat tugasan seperti yang diarahkan. Pelajar-pelajar pula mempunyai berbagai-bagai perasaan seperti marah, malu, geram dan sedih atas peristiwa yang menimpa pada diri mereka. Ada juga pelajar yang berasa lega kerana kelakuan rakan-rakannya yang buruk itu akhirnnya diketahui dan diambil tindakan oleh guru.
Bagi pelajar-pelajar yang menerima teguran sudah tentu berasa marah malah ada yang berdendam di hati sehinggkan sanggup melakukan perkara yang tidak diingini ke atas guru tersebut. Sebenarnya teguran dan ketegasan yang ada pada guru itu merupakan tanggungjawab yang ikhlas yang harus dipikul dan dilaksanakan demi kasih sayang mereka terhadap pelajar-pelajar.
Dalam hal ini ketegasan yang ditunjukkan oleh guru merupakan satu tindakan untuk memberi gambaran seperti berikut kepada pelajar-pelajar.
• Melahirkan rasa keprihatinan: Setiap guru menganggapkan para pelajar itu sebagai anak-anak mereka sendiri. Sebagai ibu atau bapa kepada anak-anak yang disayangi, mereka akan sentiasa peka terhadap perkembangan mereka baik dari segi keselamatan, kelakuan ataupun prestasi pembelajaran. Oleh itu sebarang teguran atau larangan adalah bertujuan murni untuk memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar bukan kerana membenci mereka sepertimana yang difikirkan oleh segelintir pelajar.
• Menyelamatkan pelajar daripada kecundang: Semua guru inginkan pelajar-pelajarnya berjaya. Guru akan sentiasa runsing selagi keputusan peperiksaan pelajar-pelajarnya belum diumumkan. Guru juga orang yang paling gembira apabila pelajar-pelajarnya mencapai kejayaan. Oleh itu segala teguran dan luahan rasa yang ditujukan kepada pelajar ialah bertujuan untuk menyelamatkan pelajar-pelajar daripada terjebak dalam kancah kehidupan yang berakhir dengan kemusnahan.
• Pencabar dan pembakar semangat: Setiap teguran dan nasihat guru harus diteliti secara positif. Anggapkan kata-kata teguran itu sebagai satu cabaran yang harus dihadapi dengan tenang dan bijaksana. Begitu juga dengan nasihat yang diberikan itu perlulah dianggapkan sebagai kata-kata pembakar semangat yang menyemarakkan jiwa dan perasaan pelajar bukannya untuk menimbul kemarahan.
Setelah mengerti tujuan sebenarnya teguran yang diberikan oleh guru kepada pelajar-pelajar, maka segala sifat ketegasan yang dilihat pada zahirnya sebenarnya ada kelembutan di jiwa mereka. Oleh itu wajarlah pelajar-pelajar menghargai segala jasa guru dengan cara menghormati mereka, tidak menyakiti hati mereka serta berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat kejayaan yang bakal diraikan bersama oleh guru.
Bil Air Bulan Nie
15 years ago
No comments:
Post a Comment