Wednesday, July 8, 2009


KESIHATAN
Rahsia kismis
Kismis baik untuk kanak-kanak dan orang dewasa dalam diet harian mereka.
MASIH ingatkah anda dengan pesan orang tua-tua atau ibu tentang makanan yang harus diambil jika ingin pintar dalam pelajaran? Tentulah kismis. Menjelang peperiksaan inilah satu-satunya diet yang kerap diberikan ibu.
Adakah dakwaan kismis dan kaitan ketajaman minda benar atau ia sekadar mitos? Ini kerana jarang sekali ibu bapa atau orang tua dapat memberikan penjelasan lanjut kenapa kismis baik untuk minda.
KISMIS turut berfungsi sebagai agen untuk melindungi tubuh daripada radikal bebas.
Malah keduanya, adakah kebaikan kismis hanya sekadar menyumbang kepada manfaat minda semata-mata?
Kismis atau dipanggil raisin dalam bahasa Inggeris atau zabib dalam bahasa Arab, disabdakan Rasulullah, "Biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan, menghilangkan lendir, menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih."
Apakah sebenarnya rahsia kismis sehingga ia mendapat tempat sejak ratusan tahun dulu?
Kismis sebenarnya berasal daripada buah anggur yang menjalani proses penyahidratan sama ada menggunakan matahari atau menggunakan ketuhar. Terdapat beberapa jenis kismis yang popular seperti sultana, malaga, monukka dan muscat.
Akibat proses penyahidratan saiz kismis menjadi lebih kecil iaitu hanya separuh duit syiling lima sen. Dalam satu penulisan dalam majalah Today Dietitian mengungkapkan kismis sebagai gula-gula asli dan semula jadi.
Kenapa begitu? "Ia adalah salah salah satu daripada buah kering yang paling kaya dengan nutrisi di dunia. Kismis bebas kolesterol, rendah sodium dan bebas lemak. Ia menawarkan nutrisi yang diperlukan tubuh termasuk vitamin, mineral, zat besi, serat dan kalsium," nukil artikel itu.
Jika begitu, tidakkah kismis membahayakan kesihatan? Kismis mengandungi kadar gula yang tinggi tetapi gula fruktosa adalah gula semula jadi yang dipanggil gula ringkas. Ia mudah diproses untuk menjadi tenaga.
Walaupun kering, kismis juga dikategorikan sebagai salah satu buah-buahan yang kaya dengan antioksida selain prun dan aprikot. Oleh itu, kismis turut berfungsi sebagai agen untuk melindungi tubuh daripada radikal bebas.
Snek ini menawarkan pelbagai khasiat lain termasuklah sumber tenaga, tulang yang sihat bagi wanita, kesihatan gigi dan memperbaiki daya penglihatan.
Kepelbagaian manfaat itu sebenarnya bukanlah hanya untuk kanak-kanak, malah orang dewasa.

No comments:

Post a Comment